Perniagaan dan keusahawanan merupakan salah satu cara dalam menjana pendapatan bagi menampung kos hidup yang semakin tinggi. walaupun ia sekadar penjualan produk atau perkhidmatan tetapi, langkah permulaan yang diambil oleh setiap usahawan adalah sangat berisiko dan bukanlah semudah yang disangka. Urusan yang perlu dijalankan oleh usahawan adalah melibatkan pelbagai pihak bagi menjamin urusan perniagaan berjalan dengan lancar. Kompetensi dan perilaku yang positif seseorang usahawan memberi kesan kepada urusan perniagaan dalam mendapatkan keuntungan. apabila wujudnya aktiviti keusahawanan di sesebuah kawasan ia menjadi pemangkin pembangunan ekonomi di samping penggerak utama dalam meningkatkan tahap inovasi, kreativiti dan daya saing sesebuah kawasan. Hal ini dapat dilihat melalui perkembangan pembangunan ekonomi di Kampung Keruak yang berkembang kerana wujud usahawan-usahawan yang berkompetensi dalam menjalankan urusan perniagaan.
Dulu di Kampung Keruak, urusan perniagaan hanya dilakukan oleh segelintir pihak sahaja dan ia dilakukan hanya satu hala atau secara fizikal sahaja. Tetapi perkembangan keusahawanan di Kampung Keruak begitu membangun malah menjadi salah satu sumber pendapatan utama bagi setiap penduduk di Kampung Keruak. Terdapat pelbagai jenis urusan perniagaan yang dibuat oleh para usahawan seperti penjualan kosmetik, pakaian, makanan kering dan basah, minuman,peralatan rumah, aksesori wanita dan sebagainya. Usahawan-usahawan di sini menggunakan media sosial sebagai medium utama dalam urusan perniagaan mereka. Antara yang popular adalah seperti penjualan buah-buahan apabila tiba musim buah, sayur-sayuran dan hasil hutan.