mcmc
Pelancongan & Tempat Bersejarah

Pelancongan

Kolam Air Panas Kampung La atau lebih popular dengan nama La Hot Spring sering kali menerima ramai pengunjung yang datang dari pelbagai tempat. Kolam Air Panas Kampung La ini sudah tidak asing lagi bagi setiap pengunjung yang datang berkunjung ke kawasan Hulu Besut. Kawasannya yang begitu semulajadi telah dibangunkan dengan baik tanpa menjejaskan ecosistem semulajadi yang terdapat di kawasan kolam air panas.

Kolam Air Panas Kampung La, yang terletak 35 km dari bandar Jerteh dan 10 km dari Pusat Internet  Kampung Keruak, menjadi destinasi utama bagi mereka yang sangat meminati keindahan flora dan fauna. Kedudukan Kolam Air Panas Kampung La yang berada di kaki Gunung Tebu menjanjikan satu pengalaman yang sukar untuk dilupakan buat sesiapa sahaja yang berkunjung dan ia sangat sesuai untuk dijadikan sebagai tempat perkelahan buat seisi keluarga. Udaranya yang begitu segar dan nyaman serta bunyian semulajadi daripada air terjun begitu menyamankan untuk semua lapisan pengunjung.

Terdapat pelbagai kemudahan yang telah disediakan bagi memudahkan lagi aktiviti-aktiviti perkelahan untuk seisi keluarga, antaranya seperti bilik air, surau, wakaf, gazebo, gerai-gerai makanan dan sebagainya. Kemudahan seperti rumah rehat turut disediakan bagi sesiapa yang ingin bermalam di kawasan tersebut. Tapak perkhemahan turut disediakan bagi memudahkan pengunjung untuk membuat aktiviti perkhemahan di situ. Selain daripada kolam air panas semulajdi, terdapat juga kolam air panas buatan yang mana airnya telah disalurkan menggunakan paip khas daripada air panas semulajadi. Ia telah dibuat bagi memudahkan pengunjung untuk menikmati khasiat air panas semulajadi.

Berhampiran dengan kolam air panas semulajadi terdapat sebuah sungai yang dikenali oleh penduduk tempatan dengan panggilan ‘air sejuk’, walaupun sungai air sejuk itu berada berhampiran dengan kolam air panas tetapi air sungai tersebut tetap sejuk. Jadi para pengunjung yang tidak menggemari kolam air panas boleh juga mencuba untuk mandi manda di sungai ‘air sejuk’ tersebut. Kedudukan dan susunan batu-batu yang terdapat di Kolam Air Panas Kampung La sangat cantik dan sesuai untuk dijadikan tempat mengambil gambar dan tempat berkelah. Setiap pengunjung yang mengunjungi Kampung La atau mencari lokasi kolam air panas, Kolam Air Panas Kampung La adalah destinasi pelancongan yang sangat sesuai untuk seisi keluarga pada bila-bila masa.